Thursday, April 10, 2014

Pengenalan

Bismillahirrahmanirrahim.

Nama diberi Muhariyanti binti Che Mat, seorang warganegara Malaysia sedari azali, bukan keturunan negara jiran seperti yang selalu ditanya orang di sekeliling. Saya sering berkata: Tidak mengapa, namaku sangat eksklusif, mungkin hanya satu di Malaysia ini... :)

Berasal dari Kelantan, bersekolah juga di negeri kelahiran sehingga menamatkan Tingkatan 5. Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Kejuruteraan Pembuatan. Di sinilah saya bertemu dengan insan yang menjadi imam saya sekarang ini. Alhamdulillah, dia jodoh yang ditetapkan Allah buatku.

Setelah tamat pengajian, saya berhijrah ke negeri Johor sehinggalah sekarang. Pernah bekerja sebagai Junior Design Engineer di Johor Bahru, kemudian bertukar ke sebuah syarikat membuat bot mewah di Pasir Gudang sebagai seorang Designer selama dua tahun. Namun, syarikat dilanda masalah akibat kemerosotan ekonomi yang membuatkan saya menukar pekerjaan ke bidang perguruan. Saya memang meminati kerjaya ini, jadi tugasan sebagai seorang GSTT tidaklah sukar bagi saya dalam menyesuaikan diri.

Setahun berkhidmat, saya mendahulukan kepentingan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan berbekalkan keazaman serta sokongan dari ibu, ayah dan bakal suami pada ketika itu, saya melanjutkan pelajaran di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Selepas 2 tahun pengajian, saya kini seorang surirumah yang memiliki ijazah sarjana. Agak membanggakan, namun sebagai seorang yang memiliki ijazah sarjana, saya sering dihujani pertanyaan dari sanak saudara serta sahabat handai tentang pekerjaan saya. “Sudah bekerja ke belum?” “Bila mahu bekerja?” “Belajar tinggi – tinggi tetapi tidak berkerja, lebih baik tak payah sambung belajar…” antara pertanyaan dan pendapat yang agak menyakitkan hati. Namun saya cuba berfikir secara optimistik, senyum dan melayan pertanyaan mereka dengan sopan dan berhati – hati. Terdetik di hati, aku mesti melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa walaupun berkelulusan tinggi, aku juga boleh menjadi seorang surirumah dan menjana pendapatan sendiri!

Minat untuk menulis sememangnya sudah lama wujud, namun disebabkan kekangan masa serta tidak tahu bagaimana dan di manakah untuk bermula, saya tangguhkan dahulu niat tersebut. Tambahan pula saya tidak tahu bagaimana untuk membangunkan sebuah blog. Pernah mencuba beberapa tahun yang lalu tetapi laman blog tersebut tergantung tiada kesudahan kerana saya tersekat lalu hasrat tersebut terus terkubur begitu sahaja. Rugi, bukan?

Sebagai seorang ibu yang sudah ‘terkurung’ di rumah selama hampir dua tahun, saya berhasrat untuk keluar dari kepompong dan menjana pendapatan sebagai seorang WAHM tetapi pada masa yang sama mampu menjaga dan mendidik anak saya sendiri.

Saya bukanlah seorang yang mempunyai apa-apa kemahiran yang khusus kecuali dalam bidang teknikal, tetapi saya meminati bidang jahitan dan membuat kek serta biskut. Saya juga berharap dengan memasuki dunia blog ini akan menemukan saya dengan rakan-rakan yang boleh berkongsi minat serta kemahiran masing-masing. Inshaa Allah.

Secara kebetulan, saya menjumpai akademi WAHM SAHM SOHO melalui pencarian di internet. Saya telah menghantar email kepada Puan Zaila Mohamad tentang beberapa persoalan mengenai kelas yang dianjurkan akademi tetapi telah menangguhkan niat untuk menyertai akademi selama lebih dua bulan. Dengan izin Allah, di sinilah saya, permulaan saya untuk menjadi seorang WAHM bergurukan Puan Zaila Mohamad yang tidak putus-putus memberikan semangat dan dorongan. Semoga ukhuwah yang terjalin akan membuka jalan kepada saya dan mengiringi langkah menjadi seorang WAHM yang mampu menjana pendapatan sendiri.


Langkah pertama menjadi WAHM, Inshaa Allah..

No comments:

Post a Comment